Tips Cinta ini telah disampaikan oleh saudari Bee di Forum Tentang Cinta.
Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri.
Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap
kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja
dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang
masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana
isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan
cara-cara berhadapan dengan suami.
1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.
2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka
menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri
akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami
angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak tahu bertegur
sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri.
Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau
diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang
dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf
dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.
3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia
menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk.
Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai
keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan
cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang
menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung
sekuat hati meminta simpati dari ibunya.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera
dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah
hari-hari yang terbaik iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat.
5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun
segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak
mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri
buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah
tidak taat padanya.
6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera
isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api,
janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan
gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi
mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap
suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan
isteri tidak menggemarinya.
7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah
segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu
kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan
tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa.
Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh
jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi
rumahtangga.
8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan
seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu
sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala
persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi
dan kayu sugi.
9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah
kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami
ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan
letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri
kecualilah jika suami kita meredhainya.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita
hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu.
Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu
mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya
telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan
isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum
melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku
diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering
berlaku di kalangan para isteri.
11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami
berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan
berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan
isterinya.Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga
merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.
12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia
minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah
minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di
dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh
sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun
biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli
makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak
terjamin kebersihannya.
Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan
keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan
bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan
dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka
tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita
dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar
yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.
Sekiranya anda mempunyai artikel, tips dan kisah cinta yang ingin
disampaikan bersama pembaca Tentang Cinta, sila hantarkan ia kepada
kami
0 comments:
Post a Comment